1 FEB : Seorang lelaki ditemui mati dengan kira-kira 12 kesan tembakan di tingkat tiga tempat letak kenderaan sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Perai, Bukit Mertajam malam tadi.
Mangsa lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan anggota badannya berlumuran darahkira-kira pukul 8.45 malam tadi.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, pihaknya segera bergegas ke tempat kejadian selepas memperoleh maklumat berhubung insiden berkenaan.
“Ketika di lokasi, polis menemui mayat mangsa yang dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dan terdapat 12 kelongsong peluru berhampiran mayat mangsa.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang dua suspek bersenjatakan pistol. Mangsa yang turut mempunyai pelbagai rekod jenayah dipercayai menyewa di kondominium itu sejak lima bulan lalu. Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian ini berpunca daripada dendam, namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.