1 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin melawat 33 orang warga emas di pusat jagaan King George V Silver Jubilee Fund di Jalan Loke Yew bersempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina hari ini.
Dalam lawatan tersebut, Perdana Menteri dan isteri mengambil peluang menyantuni dan beramah mesra dengan penghuni di rumah tersebut serta turut memberikan sumbangan peribadi kepada mereka.
Pusat jagaan warga emas itu telah mula beroperasi selama 85 tahun bermula sejak 23 September 1937 di mana setakat ini boleh memuatkan sehingga 100 orang penghuni.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan pemegang amanah merangkap Pengerusi Exco Selangor King George V Silver Jubilee Fund, Datuk Seri Yong Seng Yeow turut sama hadir mengiringi lawatan Perdana Menteri.
Ismail Sabri kemudian meneruskan lawatannya ke Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa Insan bertempat di Bangsar kira-kira pukul 12.30 tengahari bagi menziarahi kanak-kanak istimewa yang berada di pusat kebajikan berkenaan.