1 FEB : Senarai calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diputuskan dalam tempoh seminggu lagi.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setakat ini, senarai calon sudah ada namun ia masih belum diputuskan lagi secara muktamad.
“Terlalu ramai calon berkelayakan di Johor untuk dipilih sehingga menyukarkan pihaknya membuat keputusan.
“Tunggu sajalah pengumuman selepas kita selesaikan pembahagian kerusi,” katanya selepas majlis resepsi Tahun Baharu Cina anjuran GERAKAN di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Presiden GERAKAN, Dr Dominic Lau dan beberapa pemimpin parti PN.
Dalam pada itu, Dominic berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi GERAKAN pada PRN Johor kini berada dalam perbincangan terakhir.
Seperti apa yang disebut Muhyiddin, Dominic menjelaskan pihaknya akan mengetahui jumlah kerusi ditandingi GERAKAN dalam tempoh seminggu lagi.
“Setiap parti di bawah PN pasti mempunyai kerusi pilihan masing-masing untuk bertanding.
“Bagaimanapun, berapa jumlahnya, apa yang pasti kita mempunyai semangat yang tinggi untuk memastikan PN menang,” katanya.