Tiada keperluan adakan PRN di Kedah
1 FEB : Tidak wujud sebarang keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, demikian tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurutnya, pilihan raya bukan sesuatu yang boleh sengaja diadakan, melainkan jika ada keperluan seperti di Melaka dan Johor.
“Saya tidak tahu apa situasi di Kedah. Buat masa ini, saya tidak dengar apa-apa cerita dan bagi saya, tidak ada keperluan pun (untuk diadakan PRN).
“Pilihan raya ini, kita tidak boleh main-main. Ini bukan perkara kita boleh saja-saja buat, melainkan jika ada keperluan yang memerlukan diadakan pilihan raya,” katanya ketika mengulas khabar angin yang mendakwa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina di Wisma MCA hari ini.
Sebelum ini, tular satu tangkap layar mendakwa dua ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas di Kedah akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang boleh membawa kepada pilihan raya di negeri itu.
Namun Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia khabar angin dan menegaskan situasi di Kedah aman.
ADUN Bandar Baharu daripada UMNO, Datuk Norsabrina Mohd Noor turut menafikan dakwaan beliau dan seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan daripada kerajaan negeri.