2 FEB : Tiga kriteria utama akan menjadi dasar pemilihan calon Barisan Nasional untuk bertanding di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti .
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kriteria calon seperti yang digunakan pada PRN Melaka lalu iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi) masih digunakan dalam pemilihan calon bagi mewakili parti itu pada PRN Johor.
Menurut Ahmad Zahid, beberapa perbincangan sudah dilakukan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berhubung perkara tersebut.
“Setakat ini kita masih terus meneliti calon yang berpotensi di setiap kawasan DUN berdasarkan prinsip kebolehmenangan, penerimaan dan dari segi yang mana pengundi boleh menyukai calon itu.
“Kita sudah meminta Menteri Besar (Hasni Mohammad) untuk berunding dengan setiap ketua UMNO bahagian kerana perlembagaan UMNO menentukan bahawa sebarang calon mestilah selepas berbincang dengan ketua UMNO bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemegang amanah dan waris lot tanah Hutan Melintang di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, PRN Johor tidak akan mengikut acuan PRN Melaka sebelum ini kerana ia akan berdasarkan landskap politik di negeri itu.
“Tentunya acuan di Melaka sesuai di Melaka, acuan di Johor pula akan kita sesuaikan mengikut landskap politik Johor. Acuan di Melaka tidak digunakan di Johor kerana landskap politiknya berbeza,”jelasnya.