3 FEB: Empat pesawat tentera Russia dipintas dan diiringi keluar dari kawasan kepentingan United Kingdom di luar pesisir pantai Scotland oleh jet pejuang Tentera Udara Diraja Britain (RAF) semalam.
Kata RAF dalam satu kenyataan, jet pejuang Typhoon itu berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Lossiemouth di Moray dan turut disertai pesawat tangki pengisian minyak Voyager dari Tentera Udara Diraja Brize Norton di Oxfordshire.
“Jenis pesawat Russia ialah Tupolev Tu-95 Bear H dan Tupolev Tu-142 Bear F. Jet pejuang Typhoon kami mengiringi pesawat Russia itu keluar dari kawasan kepentingan UK dan tanah berdaulat UK,” katanya.
Operasi itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Rusia dan kuasa Barat berhubung penempatan tentera Russia di sepanjang sempadan Ukraine.
Perdana Menteri Britain Boris Johnson Rabu lalu dipetik sebagai berkata, beliau bimbang dengan ‘tindakan bermusuhan semasa’ Russia di sempadan Ukraine dalam satu perbualan telefon dengan Presiden Russia., Vladimir Putin.
Johnson menggesa satu penyelesaian yang menghormati integriti wilayah Ukraine dan hak negara itu untuk mempertahankan diri, menurut jurucakap Downing Street.