3 FEB : Tiga lelaki yang dipercayai anggota pemisah maut dalam satu kes berbalas tembakan di Chana, Songkhla hari ini.
Jurucakap Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahagian Ke-4, Pol Kol Kiattisak Neewong, berkata pihaknya bertindak atas maklumat orang ramai.
“Pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah dipercayai tempat bersembunyi empat lelaki yang mempunyai beberapa waran tangkap, kira-kira jam 5 pagi (waktu tempatan) hari ini.
“Pasukan keselamatan menasihatkan mereka menyerah diri melalui ahli keluarga dan guru agama tetapi mereka terus melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan serta cuba meloloskan diri.
“Apabila keadaan reda, pasukan keselamatan menemui mayat mangsa di tempat kejadian selain beberapa laras senjata api dipercayai dimiliki suspek turut ditemui di tempat kejadian,” katanya.
Tambah beliau, seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri dan dipercayai bersembunyi di kawasan berdekatan. – BERNAMA