3 FEB : Polis mengesan kewujudan sindiket menipu orang ramai yang menawarkan khidmat mendapatkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan mensasarkan mereka yang terdesak mendapatkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu.
“Mereka yang berminat akan diarah untuk menyerahkan butiran diri dan membuat pembayaran antara RM580 hingga RM5,000 untuk mendapatkan lesen memandu diperlukan.
“Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, lesen dijanjikan tidak diterima,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Setakat ini menurutny, polis telah menerima sembilan laporan berhubung kes itu dengan masing-masing tujuh kes di Pulau Pinang dan dua kes di Kelantan dengan jumlah kerugian keseluruhan RM17,080.
“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Kita meminta orang ramai tidak melakukan sebarang cubaan mendapatkan lesen memandu menggunakan saluran tidak sah.Tindakan itu satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan,” tegasnya.
Sementara itu, katanya, orang ramai dinasihat sentiasa berwaspada terutama apabila melakukan urusan melalui internet atau laman sosial.
“Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon diberikan itu terlebih dulu di portal Semak Mule yang boleh diakses melalui https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum memindahkan wang ke akaun tidak dikenali.
“Kita meminta masyarakat terus berwaspada dan peka dengan modus operandi digunakan penjenayah dan jika timbul sebarang kemusykilan, boleh menghubungi CCID Scam Response Center ditalian 03-26101559/1599,” katanya.