4 FEB : Seramai 20 orang maut manakala 74 lain dimasukkan ke hospital akibat menggunakan kokain yang disyaki mengandungi racun tikus di wilayah Buenos Aires, Argentina.
Kementerian Kesihatan Argentina dilaporkan membentuk satu jawatankuasa khas untuk memantau kes-kes keracunan baharu di negara itu.
Menteri Keselamatan Buenos Aires, Sergio Berni menggesa orang ramai yang ada membeli kokain dalam tempoh 24 jam terakhir supaya memusnahkannya.
Penguatkuasa undang-undang memberi amaran bahawa lebih banyak dadah ‘yang sangat bertoksik’ berada dalam edaran di rantau itu.
Penguatkuasa undang-undang setakat ini telah merampas 15,000 dos kokain dan menahan lapan orang yang mungkin terlibat dalam tragedi keracunan itu.
Menurut laporan media, dadah serupa yang menyebabkan 20 orang maut ditemui di tempat persembunyian seorang daripada tahanan. Lelaki itu berada dalam senarai orang yang dikehendaki sejak Disember.
Polis Argentina melancarkan siasatan berhubung kejadian itu.