4 FEB: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kesetiaan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini tidak perlu dipertikaikan lagi.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, ini kerana parti itu sudah bersama BERSATU sejak awal lagi penubuhan PN.
“PAS adalah parti pengasas dalam PN yang sehingga kini ia masih kekal. Jadi jangan pertikaikan, jangan persoalkan kesetiaan dan istiqamahnya PAS bersama PN.
“Kita baru selesai mengadakan muzakarah dengan PAS dan kita sudah bentang resolusi serta komitmen total parti-parti dalam PN,” katanya pada sidang media selepas Program Jualan Prihatin Rakyat Perikatan Nasional di Dataran Pagoh Jaya, Pagoh, hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pada Pililhan Raya Negeri (PRN) Johor nanti agihan kerusi antara parti komponen PN yang akan membabitkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan selesai hujung minggu ini.
Justeru, beliau mengharapkan parti komponen dalam PN dapat memberikan tumpuan penuh kepada kawasan yang diberikan bagi menumpukan kemenangan pada PRN itu nanti.
Mengulas mengenai dakwaan kononnya PAS masih membuat pertimbangan untuk bersama BN dan bukan PN pada PRN Johor nanti, Muhyiddin berkata, situasi di Johor berbeza dan gabungan itu sudah membuat keputusan muktamad.
“Di Johor tidak begitu kerana semuanya sudah dimuktamadkan dan bermakna kita (PN) sudah tetapkan kerusi yang kita akan bertanding atas nama PN, kita tidak sebut PAS, BERSATU atau Gerakan.
“Kita (PN) tahu siapa musuh yang harus kita hadapi dan itu semua sudah selesai. Jadi, tidak adalah isu berbangkit dikalangan kita,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Jualan Prihatin Rakyat berkenaan akan turut diperluaskan kepada empat atau kawasan lain di negeri itu tidak lama lagi dalam usaha PN bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Apapun yang rakyat mahu adalah bagi PN menunjukkan kesungguhan untuk usaha seberapa yang boleh. Ini adalah satu manifestasi parti untuk meringankan beban rakyat,” katanya.
Jualan berkenaan menawarkan sekilo gula pasir, sepapan telur, seekor ayam dan beras lima kilogram dengan harga RM20 sahaja, boleh didapati menerusi belian terus dan pandu lalu di beberapa lokasi terpilih.