4 FEB: Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) semalam bersetuju menggariskan lapan langkah strategik bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara langkah berkenaan ialah pemerkasaan dasar, perundangan dan mekanisme berkaitan pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana (DRR).
“Mesyuarat juga setuju supaya penekanan diberikan terhadap inisiatif DRR; menyediakan dana untuk pengurusan bencana dan DRR serta mengukuhkan mekanisme koordinasi dan kompetensi pemegang taruh pengurusan bencana.
“Turut dipersetujui, penambahbaikan sistem dan penyampaian maklumat dalam pengurusan bencana dan DRR; memperkasakan dasar dan mekanisme koordinasi bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan; meningkatkan kemahiran dalam komunikasi krisis dan komunikasi strategik serta meningkatkan kapasiti komuniti setempat dan tumpuan terhadap ‘localisation’ dalam pengurusan dan DRR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ismail Sabri itu turut dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Ketua Setiausaha Negara (KSN), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah agensi-agensi yang berkaitan.
Selain itu Ismail Sabri berkata, perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik.
Tambahnya, kementerian dan agensi turut disaran untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan
datang.
Menurutnya lagi, pewujudan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi bencana banjir sebagai norma baharu.
“Pada masa yang sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder. Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir.
Antara cadangan tersebut, katanya ialah mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah.
“Bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.
“Pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik,” katanya.
Cadangan lain katanya termasuklah menaik taraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama, meninggikan benteng dan ban sungai serta parit, membina lebih banyak tebatan banjir serta empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.
Bagai kawasan bandar berkepadatan tinggi pula, beliau berkata, terowong SMART akan dibina, membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China, mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda.
“Pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan yang lebih tinggi, mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan serta meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat JPS selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
“Membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial Intelligence) serta sistem amaran awal banjir lumpur.
“Menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang. Mengawal penebangan hutan dan kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira tentang risiko banjir,” katanya.
Susulan penyelesaian itu memerlukan peruntukan tinggi melibatkan ratusan bilion ringgit, Ismail Sabri menyatakan kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir.