4 FEB : Isu kekurangan bekalan telur ayam yang berlaku sekarang adalah isu terpencil dan ia kembali normal serta stabil selepas cuti Tahun Baharu Cina, demikian menurut Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat pembelian panik ekoran kekurangan bekalan tersebut.
“Peningkatan permintaan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina menyumbang kepada gangguan ke atas bekalan itu di seluruh negara.
“Selain itu terdapat ladang ternakan ayam dan telur ayam serta syarikat logistik penghantaran tidak beroperasi sepanjang cuti Tahun Baharu Cina, malah ada yang bercuti lebih dua hari ketika perayaan itu.
“Keadaan itu menyumbang kepada kelewatan dalam membekalkan telur dari ladang ke pemborong dan peruncit di beberapa negeri seperti di Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis dan Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Azman, Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari bagi menentukan kedudukan bekalan barangan keperluan utama di setiap rantaian pengedaran di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong dan peruncit mencukupi.
Selain ayam dan telur, barangan lain menurut Azman turut dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran dan bawang.
Sebelum ini, media melaporkan peniaga runcit memaklumkan mereka sukar mendapatkan bekalan disebabkan pemborong tidak menghantar bekalan diperlukan ke kedai mereka.
Harga bagi sepapan atau 30 biji telur ayam pelbagai gred dijual antara RM11 hingga RM13.50.
Azman berkata, kementerian mengambil tindakan awal bagi mengenal pasti punca yang berlaku dan mencari mekanisme terbaik mengatasi isu kekurangan bekalan telur ayam.
Beliau berkata, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari ataupun 930 juta sebulan di seluruh negara.
Katanya, berdasarkan data pengeluaran telur ayam dari 50 syarikat telur ayam yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negara ini, sebanyak 839,281,658 biji telur dikeluarkan pada Disember 2021.
Unjuran pengeluaran telur ayam bagi Januari lalu katanya lagi adalah 839,882,296 biji dan sehingga semalam, sebanyak 91 peratus ketersediaan bekalan telur dalam pasaran negara direkodkan berdasarkan pemantauan diadakan.
“Peratusan ini menunjukkan bekalan telur ayam adalah stabil dan mampu memenuhi permintaan semasa pengguna.
“Kementerian yakin bekalan telur kembali stabil dan boleh didapati di semua lokaliti apabila ladang dan syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi,” ujarnya.
KPDNHEP juga telah mengarahkan semua peruncit memperbaharui stok yang ada di premis masing-masing dan menghubungi pemborong serta pengeluar jika stok jatuh ke tahap pesanan semula, katanya lagi.
“Kementerian juga mengarahkan peruncit melaksanakan pembelian terhad jika perlu untuk memastikan lebih ramai pengguna dapat membeli.
“Kerajaan juga mengambil langkah intervensi dengan melaksanakan Penentuan Harga Maksimum bermula 5 Februari hingga 5 Jun depan. Dua jenis barangan ditentukan harga maksimum tersenarai seperti ayam dan telur ayam (Gred A, B dan C),” katanya.