5 FEB : Murid bukan dari kelas peperiksaan yang mengambil keputusan untuk balik bercuti sempena Tahun Baru Cina tidak dibenarkan kembali ke asrama buat masa ini dan meneruskan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dirumah masing-masing.
Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM) membuat keputusan itu untuk memastikan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari dan Mac 2022 akan berada dalam keadaan yang selamat dan dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan teratur.
Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, KPM akan terus pastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat terus dipertingkatkan.
KPM juga katanya sudah meningkatkan pemantauan di sekolah bagi memastikan segala SOP dipatuhi dengan baik dan kita dapat kurangkan risiko jangkitan COVID-19 di sekolah.
“Saya juga ingin mengingatkan ibu bapa, bagi anak mereka yang menunjukkan gejala atau simptom berkaitan COVID-19, mereka tidak dibenarkan kembali ke sekolah minggu depan.
“Untuk minggu yang akan datang, kita tahu minggu ini ramai ibu bapa yang membawa anak bercuti, balik kampung dan pelbagai aktiviti, kami mohon jasa baik ibu bapa, sekiranya minggu depan apabila sekolah dibuka, jika anak menunjukkan gejala, pastikan mereka tidak ke sekolah.
“Ini penting bagi kita pastikan persekitaran sekokah berada dalam keadaan selamat dan dapat mengurangkan risiko jangkitan di sekolah. Apa yang penting kita memastikan sekolah akan dapat terus dibuka dalam keadaan selamat dan teratur,” katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menurut Radzi, untuk tempoh 1 Januari sehingga 1 Februari lalu, hanya 8,451 kes atau 7.15 peratus daripada keseluruhan 118,238 kes COVID-19 membabitkan kluster pendidikan.
Katanya, daripada jumlah kes direkodkan itu, ia membabitkan keseluruhan 303 kluster pendidikan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 100 kluster atau 33 peratus adalah membabitkan institusi pendidikan di bawah KPM, 86 kluster atau 28.38 peratus membabitkan institusi pendidikan bukan bawah KPM dan 117 atau 38.62 peratus adalah lain-lain kluster.
“Sebanyak 100 kluster bawah institusi KPM membabitkan keseluruhan 5,494 kes. Daripada jumlah itu, 96 kluster membabitkan institusi bawah KPM manakala empat kluster atau empat peratus adalah institusi swasta yang berdaftar dengan KPM.
“Daripada 96 kluster yang membabitkan institusi bawah KPM, 84 kluster adalah membabitkan institusi berasrama. Daripada 84 kluster itu, 76 kluster membabitkan asrama harian dan lapan kluster membabitkan sekolah berasrama sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, jika ambil keseluruhan jumlah institusi berasrama bawah KPM iaitu 1,918 institusi, 84 kluster ini adalah bersamaan 4.38 peratus daripada keseluruhan institusi berasrama bawah KPM.
“Untuk yang bukan berasrama, terdapat 12 kluster atau 12.5 peratus. Daripada jumlah itu, dua kluster membabitkan sekolah menengah dan 10 kluster sekolah rendah.
“Jika kita lihat 12 kluster ini dan dibandingkan dengan 8,356 instutusi bukan berasrama di bawah KPM, kita akan dapati bahawa jumlah kluster adalah 0.14 peratus keseluruhan institusi bukan berasrama,” katanya.
Katanya lagi, ini menunjukkan sebahagian besar kluster yang membabitkan institusi bawah KPM adalah kluster yang berlaku di sekolah asrama iaitu 87.5 peratus dari keseluruhan kluster.
“Sebab itu apabila kita mengumumkan pembukaan semula sekolah, kita sudah jelaskan kepada ibu bapa khususnya yang ada anak di sekolah berasrama penuh bahawa hanya sebahagian kecil murid dibenarkan masuk ke asrama terlebih dulu, ini bagi memastikan kita dapat membuat satu pengawalan yang baik jika berlaku jangkitan di asrama .
“Pada masa sama, SOP asrama cukup ketat. Murid yang mula masuk ke asrama akan melaksanakan ujian kendiri pada hari mereka sampai ke asrama, pada hari ke enam dan hari ke-14. Usaha ini adalah bagi memastikan supaya kita dapat mengawal jangkitan di asrama,” katanya.