5 FEB : Kes harian jangkitan COVID-19 sekali lagi melonjak mendadak dengan sebanyak 9,117 kes baharu dikesan setakat pukul 12 tengahari tadi, berbanding 7,234 kes semalam.
Kali terakhir Malaysia mencatatkan kes harian melebihi 9,000 adalah pada 8 Oktober tahun lalu dengan 9,751 kes dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menyaksikan sehingga kini sebanyak 2,904,131 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.
Menerusi ciapan di Twitter, Dr Noor Hisham turut memaklumkan, semua negeri mencatatkan pertambahan kes dengan Selangor menjadi negeri tertinggi melaporkan kes baharu dengan 2,490 kes.
Ia diikuti Sabah sebanyak 1,205 kes, Johor (901), Kedah (847), Kelantan (673), Kuala Lumpur (584), Pulau Pinang (522), Pahang (470), Negeri Sembilan (416) dan Melaka (395).
Selain itu, Perak dengan 231 kes, Terengganu (123), Putrajaya (115), Perlis (88) dan Sarawak (42).