5 FEB : Kementerian Kewangan (MOF) mengingatkan orang ramai dan perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bahawa pelbagai langkah bagi membantu rakyat membina semula kehidupan pascapandemik tersedia untuk dimanfaatkan.
MOF dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan dan pihaknya sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan secukupnya bagi membantu rakyat serta perniagaan untuk pulih secepat mungkin.
Katanya, antara langkah diumumkan ialah melanjutkan tempoh permohonan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dari 31 Januari lalu kepada 31 Mac ini bagi golongan B50 yang masih memerlukan bantuan serta sokongan bayaran balik pinjaman bank masing-masing.
“Pelanggan B50 yang layak termasuk pelanggan individu yang antara lainnya, berpendapatan isi rumah kasar sebanyak atau kurang RM5,880; hilang pekerjaan; atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus,” katanya.
Katanya, antara manfaat URUS ialah pengecualian faedah atau keuntungan pembiayaan selama tiga bulan dan/atau penangguhan bayaran atau ansuran pinjaman selaras kemampuan peminjam dan sokongan dari segi strategi memperkasakan pengurusan kewangan peminjam.
Mereka yang layak dan ingin memohon URUS boleh berbuat demikian melalui pelbagai saluran perbankan bank masing-masing atau layari https://www.akpk.org.my/sites/default/files/URUS%20Kenyataan%20Media_Ber… atau menerusi https://www.abm.org.my/media-room/press-releases/item/1811-applications-… untuk mendapatkan maklumat lanjut.
MOF berkata, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) juga menawarkan perkhidmatan percuma termasuk Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) merangkumi bantuan penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan sedia ada, termasuk pembiayaan dengan lebih satu bank untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro yang menghadapi masalah pembiayaan perniagaan dengan institusi kewangan.
Katanya, maklumat lanjut berhubung perkara itu boleh didapati di https://www.akpk.org.my/my/sppk
“Selain itu, bagi membantu PKS membina semula perniagaan pascapandemik, pelbagai inisiatif di bawah Bajet 2022 sudah bermula.
“Bagi membantu PKS pulih dan berkembang, selain menguruskan tahap keberhutangan mereka, dana sebanyak RM1 bilion disediakan bagi kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF).
“Ini adalah penyelesaian inovatif bagi menyokong keperluan modal digandingkan dengan terbitan saham atau sebarang instrumen mirip ekuiti bagi mengurus keberhutangan peminjam,” katanya.
MOF berkata, PKS daripada semua sektor ekonomi layak memohon pembiayaan sehingga RM5 juta bagi perbelanjaan modal atau modal kerja, dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.
Katanya, mereka yang berminat boleh memohon terus daripada mana-mana bank yang dikawal selia Bank Negara (BNM) dan maklumat lanjut boleh didapati di pautan https://www.bnm.gov.my/-/new-bnm-funds-sme-brf-lctf-bm
“PKS juga boleh memohon dana Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) dengan sebanyak RM2 bilion disediakan iaitu RM1 bilion daripada BNM, dengan dana padanan berjumlah keseluruhan RM1 bilion daripada institusi kewangan.
“Dana ini bagi menggalakkan PKS menerapkan amalan kelestarian untuk membina daya tahan perniagaan dan membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Permohonan boleh dibuat bagi aktiviti seperti memohon pensijilan kelestarian; meningkatkan penggunaan bahan lestari dalam pengeluaran; menambah baik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan; dan memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu,” katanya.
MOF berkata, PKS daripada semua sektor boleh memohon sehingga RM10 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun dan bagi yang berminat boleh memohon terus daripada mana-mana bank dikawal selia BNM.
Mereka yang berminat boleh melayari https://www.bnm.gov.my/-/new-bnm-funds-sme-brf-lctf-bm untuk mendapatkan maklumat lanjut. – BERNAMA