5 FEB : 55 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara akan dipantau secara berterusan berhubung pelaksanaan serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, ini susulan tercetusnya satu kluster COVID-19 baharu di MRSM Tawau, Sabah baru-baru ini, yang mengakibatkan 140 pelajar masih dikuarantin hingga kini akibat dijangkiti virus tersebut.
“Kami sentiasa memantau keadaan anak-anak kita yang masih berada di MRSM, terutamanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada minggu kedua Februari ini.
“MARA turut menyarankan agar pelajar-pelajar yang belum divaksinasi agar masing-masing dapat melengkapkan dua dos, bagi mengekang penularan pandemik berkenaan menjelang kemasukan penuh pelajar bagi sesi 2022 ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ibu bapa juga dinasihatkan supaya tidak berasa risau dan terus menghubungi pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang situasi semasa, bagi memastikan anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan berasa tenang dan tidak tertekan.