5 FEB : Kerajaan hari ini mengumumkan Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan warga Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKKMKL akan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan melakukan penambahbaikan serta pembaharuan prasarana untuk kemudahan warga Kuala Lumpur.
“Pertama, dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, pihak DBKL sedang dan akan menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna.
“Bagi menggerakkan aktiviti ekonomi pula, DBKL akan menaiktaraf gerai penjaja di pusat penjaja yang telah usang termasuk kelompok-kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 bandar raya Kuala Lumpur yang diadakan di Panggung Aniversary, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Selain itu, menurut Perdana Menteri lagi, DBKL juga kini dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar.
“Bagi membolehkan warga kota mendapat kehidupan yang lebih selesaDBKL akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota dengan keluasan minimum 750 kaki persegi.
“DBKL juga akan membuat pembaikan lif yang melibatkan 306 buah lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat/Perumahan Awam (PPR/PA) dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun,” jelasnya.
Katanya lagi, bagi menjamin keselamatan warga kota, tahap keselamatan di Kuala Lumpur dipertingkatkan dengan melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal oleh Kuala Lumpur Command & Control Centre.
Kerajaan juga, kata Ismail Sabri, melalui PKMMKL akan meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian untuk urusan permohonan kelulusan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam.
“Permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil dan keputusan permohonan boleh diperolehi dalam tempoh tiga hari.
“Sebagai insentif untuk menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian, pembayaran yang melibatkan semua permohonan, akan diberikan rebat 10 % sepanjang tahun 2022,” ujarnya.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Shahidan bin Kassim di atas penganjuran majlis tersebut.
“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan. Selamat Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur.
“Kepada semua yang bertanggungjawab bersama-sama membangunkan bandar raya Kuala Lumpur, usaha kalian amat penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan bandar raya ‘Kuala Lumpur sejahtera, berdaya huni, mampan, berdaya saing dan lestari’.
“Teruskan komitmen anda. Bersama-sama kita memajukan. Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia yang kita cintai ini,” ujarnya.