5 FEB : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
SPRM menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menerima satu aduan berkaitan isu berkenaan dan akan memulakan siasatan Isnin depan dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.
“SPRM memandang serius dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan,” kata SPRM dalam kenyataan itu.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan.