6 FEB: Malaysia menjangkakan jumlah kes harian COVID-19 terus melonjak ke paras 15,000 tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, kes harian melebihi 10,000 hari ini juga menunjukkan negara ini telah berada sepenuhnya dalam gelombang baharu yang dicetuskan oleh varian Omicron.
Beliau melahirkan kebimbangan terhadap situasi tersebut, tambahan pula sekitar satu juta warga emas masih belum mendapatkan dos penggalak sekali gus berisiko mendapatkan komplikasi serius jika dijangkiti varian itu.
“Kita sudah sepenuhnya dalam gelombang Omicron. Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi.
“Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak. Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Beliau mengulas unjuran model Pemerhatian dan Unjuran Kes Harian SEIR COVID-19 yang dimuat naik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Twitter miliknya, hari ini.
Model SEIR itu mengunjurkan kes harian COVID-19 berisiko melonjak sehingga kembali mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan depan, sekiranya kadar kebolehjangkitan (Rt) virus itu kekal pada 1.2.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham yakin tahap keparahan wabak itu dapat dikurangkan walaupun kes bakal melonjak tinggi, berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi.
Terdahulu, beliau memaklumkan nilai Rt di Malaysia sudah mencecah 1.2 semalam berbanding 1.13 kelmarin, dengan empat negeri merekodkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan.