6 FEB: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak di sini, ketika mengejar seorang pesalah trafik, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dikatakan terbabit dalam satu operasi motosikal oleh JPJ Kuala Lumpur, sebelum seorang penunggang motosikal cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
Difahamkan, mangsa yang bertugas sebagai anggota preman dalam operasi itu mengejar suspek sebelum motosikal yang ditunggang mangsa terbabas.
Mangsa kemudiannya terjatuh di atas jalan raya sebelum dirempuh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Sementara itu, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.