6 FEB: Ratu Elizabeth II berkata, baginda berkenan menantunya Camilla, Duchess of Cornwall, menggunakan gelaran Raja Permaisuri apabila anak lelakinya Putera Charles ditabalkan menjadi Raja.
Dalam perutusan sempena ulang tahun menduduki takhta yang ke-70 tahun, Ratu Elizabeth mengucapkan terima kasih kepada rakyat jelata dan kaum kerabatnya atas sokongan diberikan selama ini, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Dan apabila tiba masanya, anakanda beta Putera Charles ditabalkan menjadi Raja, beta yakin anda akan memberikannya dan isterinya Camilla sokongan sama seperti anda berikan kepada beta.
“Menjadi harapan setulus ikhlas beta, apabila tiba masanya, Camilla akan dikenali sebagai Raja Permaisuri dan beliau akan meneruskan khidmat setianya sendiri,” katanya.
Era pemerintahan Ratu Elizabeth II, mencecah Jubli platinum iaitu 70 tahun bertakhta sekali gus menyaksikannya sebagai pemerintah paling lama berkhidmat dalam sejarah British.
Istana Buckingham awal tahun ini menyiarkan senarai acara perayaan dirancang bagi sambutan berkenaan pada musim panas, termasuk konsert, upacara khas, pesta jalanan dan cuti tambahan untuk rakyat jelata. – BERNAMA