6 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang disahkan meninggal dunia selepas terperangkap selama lima hari dalam perigi sedalam 32 meter di utara Maghribi.
Ismail Sabri berkata Keluarga Malaysia turut mengucapkan takziah kepada keluarga Rayan Oram.
“Semoga roh Allahyarham Rayan tenang di sana. Anak syurga milik Allah SWT,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Selasa lalu Rayan terjatuh dan terperangkap dalam perigi sempit di kampungnya di Ighran yang terletak di kawasan bukit dekat Chefchaouen.
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus dalam usaha menyelamatkannya.
Lewat malam Sabtu, Istana Diraja Maghribi mengesahkan Rayan telah menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas dia berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital berdekatan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada paru-paru dan tulang belakang.
Dilaporkan, Rayan meninggal dunia sebelum pasukan penyelamat berjaya membawanya keluar dari lubang perigi.