6 FEB: Prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid, surau dan madrasah ketika ini terbukti berkesan mengekang penularan COVID-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia dapat dilihat apabila setakat ini tiada kluster masjid yang wujud.
“Sebab itu kami kekalkan SOP itu sehingga ke hari ini dan sekiranya ada berlaku perubahan dalam tempoh dua bulan lagi sebelum kita menyambut Ramadan, ia akan diumumkan oleh kerajaan. Sekiranya ada, ia terpulang kepada pandangan majlis agama negeri masing-masing untuk menggunakan SOP yang berkesan.
“Kita juga belajar daripada beberapa insiden yang berlaku pada bulan Ramadan lalu apabila ada kluster daripada kumpulan tarawih yang tidak mematuhi SOP.
“Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa akan mempergiatkan lagi pemantauan supaya jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya di Kota Bharu hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak berhasrat untuk memperkenalkan SOP khusus bagi ibadah tarawih sempena Ramadan akan datang sebaliknya akan mengekalkan SOP sedia ada.