7 FEB: Keputusan Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan dimuktamadkan minggu depan.
Naib Presidennya, Datuk Junz Wong, berkata perkara itu akan dibuat berdasarkan laporan pernilaian keperluan menyertai PRN Johor dan akan diumumkan sendiri oleh Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Laporan penilaian itu akan saya siapkan pada Isnin depan dan akan dinilai Presiden WARISAN sebelum keputusan muktamad seterusnya pengumuman akan dibuat.
“Presiden akan berada di Johor Bahru pada 15 Februari ini untuk pelancaran rasmi WARISAN Johor. Mungkin pengumuman penyertaan pada PRN Johor akan dibuat pada tarikh pelancaran itu nanti atau beberapa hari sebelum program terbabit diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima borang keahlian daripada 300 bekas ahli BERSATU Tanjung Piai diketuai bekas setiausahanya, Hishamuddin Busri di Pekan Nanas di Pontian, malam tadi.
Semalam, media melaporkan Ketua Wira WARISAN , Datuk Mohd Azis Jamman memberi bayangan parti itu sah menyertai PRN Johor dengan kerjasama Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Beliau dilaporkan berkata perkara itu bakal diumumkan Mohd Shafie bersama Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam masa terdekat.