7 FEB: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, merayu semua pihak, khususnya warga emas supaya mengambil suntikan penggalak vaksin COVID-19 bagi mengelak jangkitan lebih teruk terutamanya dengan lonjakan kes berkaitan varian Omicron.
Khairy berkata, ini kerana risiko jangkitan teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas, dengan sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus daripada 32,034 kematian akibat wabak itu sehingga semalam, membabitkan golongan berkenaan.
Beliau berkata, kira-kira satu juta atau 32 peratus warga emas dikenal pasti masih belum mengambil dos penggalak vaksin COVID-19.
“Kementerian Kesihatan (KKM) meminta supaya individu berusia 60 tahun ke atas segera mendapatkan dos penggalak dan boleh datang secara secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.
“KKM ingin memaklumkan sekali lagi, semua penduduk berusia 60 tahun ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Khairy berkata, semua klinik kesihatan (KK) di seluruh negara diaktifkan semula supaya bersiap siaga untuk menerima kedatangan pesakit yang tinggi.
Menurutnya, terdapat 370 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di KK dan komuniti yang sedang beroperasi untuk membuat penilaian pesakit positif COVID-19, setakat hari ini.
Selain itu, katanya, pejabat kesihatan daerah (PKD) akan sentiasa mengenal pasti KK dan dewan orang ramai yang sesuai untuk menambah bilangan CAC bagi menampung pertambahan kes COVID-19 jika terdapat keperluan.
“CAC berfungsi bagi mengenal pasti pesakit memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah, menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan.
“Selain itu, mengenal pasti dan menyelaras pesakit perlu dirujuk Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital serta menjalankan penilaian dan pelepasan bagi kes positif yang tamat tempoh pengasingan,” katanya.