7 FEB : UMNO akan bertemu dengan pengundi muda yang memerlukan penjelasan mengenai perkembangan politik tanah air, demikian kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Menurut Bung, pengundi muda bakal mengundi dalam PRU akan datang, sudah semestinya jentera UMNO harus mendampingi mereka ini untuk memahami kehendak mereka yang jelas masih memerlukan bimbingan.
“Gerak kerja UMNO juga akan diperluas ke arah mendalami platform media sosial yang menjadi platform kegemaran golongan muda,” ujarnya.
Bung berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kepemimpinan UMNO Labuan hari ini.
Sementara itu, Bung menegaskan jentera UMNO di seluruh negara kini bersiap siaga dalam segala aspek bagi memastikan parti itu terus ‘bangun’ dan relevan di hati rakyat.
“UMNO juga telah mempersiapkan jentera di semua peringkat demi memastikan ia bergerak sehingga akar umbi bagi mendalami kesusahan serta rintihan rakyat. UMNO akan menggunakan apa juga platform untuk mengangkat segala isu membelenggu rakyat ke peringkat tertinggi untuk penyelesaian.
“UMNO sejak dari dahulu diketahui membela untung nasib rakyat, sama ada ketika dalam pemerintahan kerajaan atau selepas kalah dalam pilihan raya,” katanya lagi.