7 FEB: UMNO sedia menerima kembali bekas pemimpin ataupun ahli yang ingin kembali ke pangkuan parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO adalah gerakan menabur bakti dan kebaikan sedia membuka pintunya untuk semua.
“UMNO adalah gerakan menabur bakti dan kebaikan. Pintunya terbuka untuk semua. Tanpa mengira latar umur dan asal-usul.
“Namun, andai mereka yang meninggalkan UMNO dan berhasrat kembali, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Namun, parti ini mesti berlaku adil dan tegas.
“Proses penerimaan semula mesti melalui proses seperti dalam perlembagaan UMNO. Diterima hanya sebagai ahli biasa. Tanpa syarat. Tanpa keistimewaan atau kelebihan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata kepulangan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor kepada parti itu adalah “gelombang pemulihan” yang baik.
Katanya, ramai lagi pemimpin BERSATU akan mengambil keputusan yang sama, pulang ke pangkuan UMNO dan BN.
Sebelum ini, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengumumkan keluar parti beberapa hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bubar.
Ia disusuli dengan tindakan bekas ADUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad yang meninggalkan turut meninggalkan BERSATU.