8 FEB : Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan boleh memberi pandangan mengenai pelaksanaan SOP itu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, walaupun kerajaan boleh memberikan cadangan atau pandangan namun keputusan akhir berhubung SOP PRN akan dibuat SPR.
“Yang akan memutuskan SOP PRN adalah SPR, bukan kerajaan. Jadi apa yang boleh kita buat memberi pandangan, terserah kepada mereka (SPR) untuk menentukannya (SOP) pada PRN Johor,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, Putrajaya hari ini.
Hishammuddin sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet COVID-19 di Wisma Pertahanan.
Mesyuarat hamoir dua jam bermula jam 3 petang itu turut dihadiri Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique.
PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 22 Januari lalu, berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN.