9 FEB : Seramai 14 orang terbunuh manakala 35 cedera dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa beberapa buah rumah di tengah Colombia semalam.
Menurut Agensi Bencana Alam dan Risiko Columbia (UNGRD), bencana di Dosquebradas, berhampiran bandar Pereira, dikatakan akibat daripada hujan lebat di wilayah sekitar penanaman kopi itu.
“Laporan terkini kita menunjukkan bahawa 35 orang cedera, 14 kehilangan nyawa dan seorang masih hilang. Usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan,” kata UNGRD di Twitter mengenai tanah runtuh awal pagi di kejiranan La Esneda.
Agensi keselamatan bersama pihak berkuasa turut memindahkan berpuluh-puluh rumah berdekatan ketika sungai Otun melimpah.