9 FEB : Rundingan antara parti DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mencapai persetujuan di mana enam kerusi akan diberikan kepada parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Keputusan itu diumumkan menerusi satu kenyataan bersama yang ditandatangani, Syed Saddiq, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini.
Lima kerusi berkenaan ialah N05 Tenang, N07 Bukit Kepong, N22 Parit Raja, N26 Machap, N41 Puteri Wangsa, dan N50 Bukit Permai.
Kenyataan itu turut menyebut, rundingan berkenaan juga menetapkan tiga matlamat utama iaitu memastikan tiada pertindihan antara tiga parti terbabit; menyelaras tenaga kerja jentera masing-masing; serta bersama-sama membantu menubuhkan Kerajaan Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka.
“Ini bermakna bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor 2022, Amanah, DAP dan Muda bakal bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya – walaupun Muda tidak menyertai Pakatan Harapan (PH).
“Ini serasi dengan prinsip “khemah besar” untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan BN/PN,” kata kenyataan.
Prundingan antara Muda dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN ini kata kenyataan itu lagi.
“Pimpinan Amanah, DAP dan Muda percaya bahawa pakatan pilihan yang dijalin menerusi rundingan ini akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang, selaras dengan agenda Johor Bangkit agar PRN Johor adalah untuk masa depan rakyat dan bukanlah perebutan kuasa dan jawatan.
“Rakyat Johor berhak mendapat kepimpinan yang mahukan Johor Bangkit menjadi sebuah negeri yang maju, beramanah, bermaruah dan berintegriti,” katanya.