9 FEB : Pendaftaran Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) yang berusia lima hingga 11 tahun meningkat sebanyak 30,000 pada Selasa, demikian menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi kemas kini di laman Twitter hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus menyampaikan kebaikan vaksinasi kanak-kanak di pelbagai saluran termasuk Facebook.
Dalam perkembangan sama, data yang dikemas kini di laman web COVIDNOW setakat 11.59 malam tadi menunjukkan, 1.4 peratus kanak-kanak di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Lembah Klang merekodkan peratusan vaksinasi PICKids tertinggi iaitu 4.2 peratus, diikuti Sarawak (2.4 peratus) dan Sabah (0.7 peratus).
PICKids dilancarkan pada 3 Februari lalu bermula di Lembah Klang dan menggunakan vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech di mana KKM menyasarkan 80 peratus kanak-kanak di negara ini menerima vaksin COVID-19.