9 FEB : Douglas Emhoff, suami kepada Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Haris, serta pelajar dan pentadbir Sekolah Tinggi Dunbar dipindahkan ke tempat selamat oleh Ejen Perkhidmatan Rahsia AS ekoran ancaman bom ketika menghadiri acara sempena bulan Black History di sekolah menengah pertama untuk rakyat berkulit hitam di situ.
Bagaimanapun, tiada letupan ditemui di lokasi terbabit dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat ancaman tersebut.
Beberapa siri ancaman bom berlaku pada minggu lalu terhadap puluhan kolej dan universiti kulit hitam (HBCUs) bersejarah di seluruh negara, sehingga pentadbir institusi berkenaan terpaksa membatalkan kelas, sekali gus meningkatkan ketakutan dalam kalangan masyarakat kulit hitam negara itu.
Menurut pihak polis, berdasarkan maklumat awal diterima menunjukkan, ancaman bom itu tidak menjadikan Emhoff sebagai sasaran.
Polis juga berkata, ancaman bom dibuat menerusi panggilan telefon yang sedang dikesan pihak berkuasa sebelum mengisytiharkan kawasan sekolah tinggi itu diklasifikasikan selamat .
Terdahulu, kakitangan Emhoff memberitahu wartawan bahawa pihak sekolah ada melaporkan ancaman kepada Perkhidmatan Rahsia AS, yang melindungi pemimpin politik dan keluarga mereka.