10 FEB: Pakatan Harapan (PH) memohon kerajaan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan peningkatan kes COVID-19.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini menyatakan ia bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes COVID-19 sebagai alat bagi tujuan politik.
Kenyataan bersama itu ditanda tangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau.
“Majlis Presiden memandang serius gelombang COVID-19 dengan varian Omicron yang mencecah 17,000 kes semalam.
Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik, maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor,” katanya.
Bagaimanapun Majlis Presiden PH berkata, sekiranya kerajaan tidak melaksanakan penangguhan PRN, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.
“Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak boleh dikenakan kerana ia terbukti gagal sebelum ini,” katanya.
Majlis Presiden PH turut memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi selepas calon parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac ini dengan hari mengundi awal ditetapkan pada 8 Mac manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.