10 FEB : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mewujudkan sebanyak 8,686 jawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, daripada jumlah itu, sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan akan diwujudkan di KKM pada tahun ini bagi tujuan melantik seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.
“Selain itu sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi juga akan diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025.
“Berdasarkan keputusan hasil mesyuarat Kabinet, Jemaah Menteri juga bersetuju sebanyak 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM, setiap tahun mulai tahun depan, bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM.
“Sebagai tambahan juga, 800 lagi lantikan tetap untuk pegawai perubatan dan 70 pegawai pergigian boleh dibuat pada setiap tahun bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pegawai perubatan yang akan dilantik menjadi pakar perubatan,” katanya di Putrajaya hari ini.
Lantikan bagi jawatan tetap tambahan itu menurut Khairy lagi akan dibuat bermula pada Jun ini, dan iklan permohonan sudah dibuka pada bulan ini.
“Selain itu satu pelan hala tuju sedang dibangunkan oleh KKM bersama agensi dan kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam kemelut berhubung pegawai lantikan kontrak ini.
“Kandungan pelan hala tuju itu termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Sarjana Muda Perubatan (SMP) dan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (SMPP) bagi mengoptimumkan kapasiti penawaran program dan mengawal kualiti graduan,” jelasnya.