10 FEB : Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar positif COVID-19 selepas menerima laporan ujian dilakukan dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Beliau mengesahkan perkara tersebut melalui satu hantaran di media sosial.
“Saya menerima laporan ujian PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang menunjukkan saya positif COVID-19.
“Memandangkan kami sudah menjalankan kuarantin kendiri sejak 6 Februari, kami akan meneruskan HSO (Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah) dan melakukan yang terbaik bagi melindungi Safiyah (anak) daripada terkena jangkitan.
“Selain daripada simptom ringan biasa (lesu, hidung berair dan sakit otot atau sendi), Alhamdulillah kami dalam keadaan baik,” katanya dalam hantaran itu.
Nurul Izzah berkata, tidak mudah untuk berdepan dan melalui COVID-19.
“Ia mengimbau memori ketika saya mengalami demam denggi, walaupun tidak begitu teruk untuk dibandingkan.
“Ternyata, amat penting untuk kita terus dilindungi menerusi vaksinasi. Syukur, kami semua berjaya melengkapkan dos vaksinasi dan berharap supaya kita dapat diberikan tahap perlindungan yang sama, Insya-Allah,” katanya.
Beliau sekeluarga menurutnya juga mengemaskini status harian menerusi MySejahtera termasuk video latihan pernafasan dan penggunaan oksimeter yang betul.