10 FEB : Russia dilihat terus memperkukuhkan kedudukan pertahanan dengan menghantar 100,000 lagi anggota tenteranya di sempadan Ukraine.
Pentagon melalui jurucakapnya, John Kirby, berkata, pemantauan dalam tempoh 24 jam lalu mendapati ada pertambahan pergerakan dari Russia menuju sempadan Ukraine dan Belarus.
“Kita kita dapat memberi angka sebenar namun jumlah anggota tentera Russia yang dihantar ke sempadan semakin bertambah,” katanya.
Bagaimanapun, pihaknya yakin dengan angka 100,000 tentera dengan merujuk kepada kenyataan Presiden Russia Vladimir Putin.
“Beliau (Putin) akan terus menambah keupayaan dan kami juga boleh melihat pertambahan batalion yang kini dalam perjalanan (ke sana).
“Dan setiap hari juga beliau akan menambah pelbagai pilihan keupayaan dan terus menggugat kestabilan yang sudah menjadi sangat tegang.
“Beliau juga boleh meredakan keadaan dengan menarik semula semua aset ketenteraan dan menggunakan pendekatan diplomatik,” katanya.
Kenyataan Kirby itu dibuat ketika Rumah Putih berkata, Presiden AS, Joe Biden mendapat taklimat daripada rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron mengenai pertemuan dengan pemimpin Russia dan Ukraine.
Macron bertemu dengan Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky minggu ini dalam usaha mencari jalan diplomatik keluar daripada krisis yang dicetuskan oleh kedudukan Russia sebagai pasukan tentera yang besar di sempadan Ukraine sambil menuntut agar bekas republik Soviet itu tidak dibenarkan menyertai pakatan NATO.