11 FEB: Indonesia bakal menerima pesawat F-15ID setelah Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meluluskan potensi penjualan pesawat itu dan peralatan berkaitan.
Pentagon menyatakan perkara itu semalam dalam perjanjian bernilai AS$13.9 bilion (RM58.1 bilion).
Menurut laporan media, Indonesia berhasrat untuk membeli lebih daripada 70 jet buatan Perancis dan AS.
Indonesia dilaporkan merancang membeli 42 jet pejuang Rafale dalam perjanjian bernilai AS$8.1 bilion (RM33.8 bilion).
Ia adalah sebahagian daripada siri perjanjian yang turut merangkumi pembelian kapal selam dan kelengkapan ketenteraan lain.
Negara itu berusaha untuk membaik pulih pesawat yang usang ketika ini, iaitu F-16 buatan AS dan dua pesawat dari Russia iaitu Sukhoi Su-27 dan Su-30.
Menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan Pentagon dalam satu kenyataan, Boeing ialah kontraktor utama untuk jet F-15.
Katanya, pakej itu termasuk 36 jet, enjin gantian, radar, latihan penggunaan kaca mata pelindung bagi penglihatan waktu malam dan sokongan teknikal.
Agensi itu memaklumkan Kongres mengenai kemungkinan penjualan itu semalam.
Walaupun sudah diluluskan oleh Jabatan Negara AS, pemberitahuan itu tidak menunjukkan bahawa kontrak berkenaan sudah ditandatangani atau rundingan dimuktamadkan. – REUTERS