11 FEB: PAS Pusat memecat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkuat kuasa semalam.
Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat PAS berikutan masalah disiplin bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
“Oleh kerana pelantikan beliau dalam Majlis Syura Ulama oleh Jawatankuasa PAS Pusat, maka PAS Pusat membatalkan pelantikan itu.
“(Beliau) tak jadi Ahli Majlis Syura Ulama kerana nak jadi Setiausaha Majlis Syura Ulama mesti Ahli Majlis Syura, maka gugurlah beliau daripada Majlis Syura dan Setiausaha Majlis Syura.
“Beliau sekarang hanya ahli biasa dan pemecatan dibuat kerana masalah disiplin dan kita akan melantik individu lain bagi mengisi kekosongan itu,” lapor Berita Harian hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.