11 FEB : Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan supaya memorandum persefahaman (MoU) berhubung Perkhidmat Domestik Indonesia (PDI) perlu segera dimeterai, demikian kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Menurutnya, MoU PDI itu akan dimeterai beliau dan rakan sejawatnya, Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah.
“Perkara mengenai PDI telah dibincangkan dengan secara mendalam dalam beberapa siri mesyuarat Jemaah Menteri termasuklah pada 9 Feb lepas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, beliau dan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mempunyai matlamat yang sama iaitu melindungi serta menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekerja warga Indonesia di dalam negara terutama yang membabitkan isu seperti gaji, cuti dan kebajikan pekerja.
Saravanan turut menasihati pekerja asing termasuk PDI, kepentingan untuk mempunyai dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah agar hak-hak mereka sebagai pekerja adalah terjamin.
Pada 24 Jan lepas Malaysia dan Indonesia dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan projek rintis pengambilan 10,000 pekerja PDI dari negara jiran itu bermula bulan ini selepas MoU ditandatangani.