12 FEB: Pandangan sesetengah pihak bahawa Barisan Nasional (BN) perlu dikalahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah adalah satu penghinaan kepada rakyat di negeri itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata beliau mendapati sukar untuk memahami logik pemikiran sedemikian berikutan soal kepentingan rakyat dan negeri Johor cuba diperkecilkan dan disempitkan menjadi isu individu dan personaliti tertentu semata-mata.
“Johor sebelum pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri), sudah berada di bawah kepimpinan seorang MB (Menteri Besar) daripada UMNO.
“Malangnya keadaan majoriti terlalu tipis mengakibatkan keadaan politik yang tidak stabil sehingga mengganggu fokus pentadbiran negeri.
“MB berpandangan beliau memerlukan mandat yang lebih kuat dan politik negeri yang lebih stabil agar beliau dapat menumpukan perhatian membela rakyat dan membangunkan negeri,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu menyifatkan isu memberi kuasa kepada Kluster Mahkamah adalah tidak jelas dan dilihat tidak lebih dari satu percubaan menyekat kebangkitan rakyat untuk bersama UMNO dan BN.
“Suka saya tegaskan, soal Kluster Mahkamah bukan isu Johor, malah bukan sama sekali isu PRN Johor, Melaka, Sabah, Sarawak atau mana mana negeri.
“Itu isu individu, persoalan undang-undang dan proses mahkamah. Setiap PRN ada meritnya sendiri.
“Bagi PRN Johor, ia memberi mandat kepada rakyat yang mahukan politik yang lebih stabil, mandat lebih kukuh dan mengembalikan Johor kepada politik kemajuan dan pembangunan yang membawa kesejahteraan kepada negeri ini,” tegasnya.
Jelasnya, masalah individu dan urusan yang berkaitan undang-undang dan proses mahkamah tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memperjudikan nasib rakyat Johor.
Justeru, katanya, PRN Johor perlu disambut oleh pengundi dan rakyat Johor demi kemajuan dan kesejahteraan negeri itu.
“BN dan jentera pilihan rayanya tidak akan mudah tersasar dengan provokasi yang bertubi-tubi terhadapnya.
“UMNO dan BN akan terus memberikan fokus kepada rencana untuk memajukan negeri Johor dan akan terus membina keyakinan rakyat berdasarkan ‘track record’ UMNO dan BN Johor selama ini,” katanya.