13 FEB : 15 lagi kes kematian disebabkan COVID-19 direkodkan hari ini di mana lima daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Menurut data yang dikongsikan dalam laman web COVIDNOW, kes kematian yang dicatatkan itu termasuk kes tertunggak.
Kes kematian berkenaan membabitkan empat kes yang dilaporkan di Johor dan Perak, selain dua kes kematian masing-masing dilaporkan di Kelantan dan Terengganu serta masing-masing satu kes di Kedah, Melaka dan Sabah.
Perkembangan itu menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 32,114 kes angka korban akibat COVID-19 di negara ini.
Bagi kes BID atau pesakit COVID-19 meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan, dua kes dilaporkan di Johor dan masing-masing satu kes di Kedah, Kelantan dan Sabah.
Ia menjadikan sehingga kini jumlah kumulatif kes BID di negara ini meningkat kepada 6,488 kes.
Sementara itu, mengenai kes COVID-19 yang masih aktif di negara ini, data menunjukkan sehingga semalam terdapat sejumlah 140,336 kes.
Pecahan daripada jumlah yang dinyatakan itu, sebanyak 127,984 kes atau 91.2 peratus kini sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.
Selain itu 4.5 peratus atau 6,254 kes pula kini berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), hospital (5,922), unit rawatan rapi (ICU) (78) dan ICU yang memerlukan alat bantuan pernafasan (98).