13 FEB : Agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) diingatkan agar terus memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia terutamanya kepada para pengusaha pengangkutan awam yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada agensi itu.
“Selain itu, saya turut berharap dengan adanya sistem pelesenan atas talian (ISPKP) yang bakal diperkenalkan oleh APAD tahun ini bagi menggantikan sistem pelesenan sedia ada yang sudah berusia 20 tahun.
“Dengan wujudnya sistem berkenaan, semoga ia dapat memudahkan orang ramai dalam berurusan dengan APAD pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini.
Ka Siong hari ini mengadakan lawatan ke Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Wilayah Selatan Di Menara Cyberport Johor Bahru
Beliau kemudiannya diberi taklimat oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pelesenan Komersil, En. Mohd Lutfi Bin Ahmad mengenai pengoperasian APAD Wilayah Selatan yang turut merangkumi Negeri Johor dan Melaka.
Dalam lawatan tersebut, Ka Siong juga mengambil kesempatan menemui beberapa pengunjung yang berurusan di pejabat berkenaan.
“Saya dapati rata-rata mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga APAD Wilayah Selatan,” katanya.
Pejabat APAD Wilayah Selatan ini menerima kira-kira 2,800 pengunjung dan menerima sekitar 3,000 permohonan permit dan lesen setiap bulan.