Penjawat awam akan diberi kebenaran terlibat politik
13 FEB : Penjawat awam akan dibenarkan untuk terbabit dalam aktiviti politik seperti pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Sehubungan itu, pekeliling mengenainya sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memperincikan tatacara kebenaran itu meliputi kumpulan penjawat awam, gred dan prosedur yang perlu diikuti bagi mengelak percanggahan kepentingan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata, buat sementara ini, guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan untuk berpolitik mengikut garis panduan yang sedia ada dan JPA dalam peringkat akhir mengeluarkan pekeliling meliputi keseluruhan penjawat awam.
“Perincian mengenai kebenaran berpolitik ini sedang dibuat oleh JPA meliputi keseluruhan aspek,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sign-Off Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Terengganu dan Agensi Di Bawahnya 2021-2025 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Terdahulu, guru sekolah di seluruh negara dan petugas KEMAS dibenarkan untuk berpolitik berkuat kuasa serta-merta.
Ismail Sabri berkata, perkara itu diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik.