14 FEB: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin pintu sempadan negara dapat dibuka dalam masa terdekat dengan keutamaan kepada negara-negara jiran.
optimis Malaysia dapat membuka pintu sempadan negara dalam masa terdekat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sebelum ini pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi berjalan lancar dan menjadi penanda aras untuk pembukaan sempadan negara.
“Gelembung pelancongan Pulau Langkawi tahun lalu mencatat lebih 700,000 pelancong, domestik dan antarabangsa.
“Dari situ, kita sudah mempunyai keyakinan boleh buka sempadan antarabangsa, namun ia perlu diperincikan lagi sebab ada negara juga belum benarkan orang mereka keluar.
“Kita perlu teliti keperluan untuk membuka sempadan secara keseluruhan bukan lagi gelembung. Kita sudah membuat persiapan ke arah itu,” katanya pada satu majlis di ibu negara hari ini.
Sebelum ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, pembukaan sempadan itu boleh dilaksanakan bagi memulihkan kembali sektor pelancongan negara dan seluruh dunia, yang terjejas teruk ekoran pelaksanaan sekatan bagi mengekang penularan COVID-19.