14 FEB : Ketegangan antara Russia antara Ukraine dilihat makin memuncak apabila Ukraine meminta satu pertemuan segera dengan Russia dan berpuluh-puluh negara Eropah lain bagi menjelaskan tindakan Moscow menambah jumlah tentera di sepanjang sempadan bekas negara Soviet itu.
Menteri Luar, Dmytro Kuleba di laman Facebook, semalam berkata, Russia tidak mengendahkan permintaan rasmi Kyiv untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan Moscow menempatkan lebih 100,000 tentera dan senjata canggih di sekitar Ukraine.
“Ukraine berusaha mengadakan pertemuan dengan Russia dan semua negara anggota dalam tempoh 48 jam akan datang untuk membincangkan mengenai pengukuhan dan pergerakan tentera Russia di sepanjang sempadan kita,” katanya.
Dokumen Vienna 1990 memerlukan 57 ahli Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) untuk berkongsi maklumat mengenai pasukan tentera mereka dan memberitahu satu sama lain perihal aktiviti besar yang dilaksanakan.
Setakat ini, tiada maklum balas segera dari Moscow terhadap permintaan Kuleba.
Amerika Syarikat (AS) turut bimbang situasi pengumpulan tentera Russia boleh membawa kepada pencerobohan ke atas Ukraine pada ‘bila-bila masa’.