15 FEB: Mohamad Taufiq Ismail semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berkuat kuasa serta-merta.
Beliau turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru yang dimaklumkan menerusi muat naik di Facebooknya.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan AMK Johor atas segala tunjuk ajar dan kepercayaan diberi sepanjang tempoh menjawat jawatan berkenaan.
“Saya berharap AMK Johor akan terus maju ke hadapan dalam memenangi isu rakyat dan menjayakan agenda reformasi parti,” katanya.
Mohamad Taufiq turut memuat naik satu kenyataan ringkas yang menunjukkan kekecewaan dengan sebuah parti politik, namun tidak menamakan parti berkenaan.
“Parti ini parti derita, memang deritalah sampai bila-bila. Tiba di penghujung kerjaya politik saya. Terima kasih semua,” tulisnya.