15 FEB : Rangkaian pasar raya terkemuka Aeon menaikkan angka gaji minimum pekerjanya kepada RM1,500 sebulan berbanding RM1,200 sebelum ini.
Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat Aeon Co (M) Bhd dan Aeon BiG (M) Sdn Bhd, Dr Kasuma Satria Mat Jadi, berkata, kenaikan gaji minimum itu yang berkuat kuasa 1 Januari lalu membabitkan pekerja gred G dan ia merupakan gaji asas tidak termasuk elaun dan insentif lain.
“Kita bersyukur dapat melaksanakan gaji minimum baharu ini kepada pekerja gred G.
“Ia selari dengan inisiatif lestari Aeon Sayap Bagimu yang menyasarkan untuk menyediakan peluang, dorongan serta sokongan kepada pihak berkepentingan terutama mereka yang memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Keputusan itu menurutnya dibuat mengambil kira kepentingan serta kebajikan pekerja selain mendukung saranan kerajaan.