15 FEB : Pengembara dari Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam MySejahtera, manakala pengembara dari Filipina dibenarkan memasuki Malaysia dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam aplikasi sijil vaksinasi VaxcertPH.
Isu sijil vaksinasi yang menyebabkan tujuh warga Malaysia terkandas di lapangan terbang Filipina semalam selesai, apabila Kerajaan Malaysia dan negara itu mencapai kata sepakat untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19, kata Kementerian Luar menerusi satu kenyataan hari ini.
Wisma Putra dalam kenyataan itu juga menyebut, kemasukan pengembara juga tertakluk kepada prosedur kuarantin semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara.
“Persetujuan itu membolehkan Kedutaan Besar Malaysia di Manila membantu tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila pada 13 Februari lalu untuk memasuki Filipina atas tujuan rasmi dan perniagaan,” katanya.
Wisma Putra berkata, pada dasarnya, Kerajaan Malaysia mengiktiraf pengembara yang lengkap menerima vaksin diluluskan bawah Senarai Kegunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau yang diluluskan oleh pihak berkuasa negara tertentu.
Bagaimanapun, katanya, pengiktirafan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan negara lain.
Selain itu, Wisma Putra berkata, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Filipina juga sepakat untuk meneruskan kerjasama ke arah verifikasi ketulenan sijil vaksinasi COVID-19 kedua-dua negara secara dalam talian dengan sistem yang lebih selamat dan terjamin bagi memudahkan laluan kemasukan pengembara yang lengkap divaksinasi.