15 FEB : Sebanyak 80 peratus senarai rumah, jalan raya dan kemudahan awam di kawasan pedalaman yang terjejas akibat banjir telah diterima oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) setakat ini.
Sehubungan itu, Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pegawai daerah perlu segera menyerahkan laporan kerosakan rumah dan infrastruktur mengikut tempoh ditetapkan.
“Bagi projek yang terkesan banjir di kawasan pedalaman, pelaporannya datang dari pejabat daerah iaitu pegawai daerah sebagai pengerusi Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) daerah.
“Dia yang sediakan senarai itu dan dihantar kepada kementerian. Setakat ini, kita ada terima bagi baik pulih dan bina baharu rumah, sudah boleh buat sebab kita ada bajet sebanyak RM50 juta bagi kerja berkenaan,” katanya.
Beliau selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pengarah Agensi KPLB dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Muar di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Mahdzir menyampaikan sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YPM kepada 401 pelajar dari empat institusi pengajian di bawah Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terkesan pandemik COVID-19.
Sumbangan berjumlah RM40,100 itu diserahkan kepada pelajar di bawah kategori B40 di Institut Kemahiran MARA (IKM) Johor Bahru, Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang dan KKTM Sri Gading
Mahdzir berkata, setakat ini 1,700 rumah sudah dibaik pulih dan dibina baharu di bawah peruntukan RM50 juta bagi kerja membaik pulih rumah.
“Sementara itu, RM50 juta diperuntukkan bagi membaiki jalan perhubungan desa (JPD), manakala program ameniti sosial (PAMS) pula diberi peruntukan sebanyak RM50 juta di negeri terkesan bencana banjir baru-baru ini,” katanya.