15 FEB : Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mensasarkan 585 orang peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan (PAKS) di Jajahan Gua Musang, keluar daripada garis kemiskinan.
Pengurus Besar KESEDAR, Dr Shahrir Mohammad Zakey berkata, agensi itu juga akan menyerahkan geran lot kediaman kepada semua pesertanya hujung tahun 2022.
“PAKS dirancang sebagai satu projek yang melibatkan perjanjian usahasama antara ECERDC & KESEDAR bermula pada 5 Disember 2011 sehingga 31 Disember 2021.
“Dengan penamatan perjanjian tersebut, bekas peserta akan menerima gratuiti bernilai RM700 sebulan selama setahun sebagai tanda penghargaan penyertaan dalam projek tersebut sebagaimana yang dipersetujui oleh Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) walaupun tidak termasuk dalam mana-mana perjanjian sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Tambah beliau, projek PAKS dilaksanakan di atas tanah milik KESEDAR seluas 242.83 hektar yang telah dibangunkan merangkumi lot kediaman peserta dan kemudahan ameniti sosial.
Pada 6 Januari lalu, KESEDAR telah mengeluarkan Surat Perakuan Milikan Kediaman PAKS kepada bekas peserta sebagaimana dinyatakan di dalam perjanjian yang ditandatangani oleh peserta semasa menyertai projek tersebut.
KESEDAR juga menurut Dr. Shahrir, mengambil langkah proaktif dengan mengadakan Hari Kerjaya bersama syarikat-syarikat swasta di sekitar Gua Musang untuk membuka peluang pekerjaan baharu kepada bekas peserta.
Antaranya, KESEDAR Perkilangan Sdn. Bhd (KPSB), KESEDAR Dagang Sdn. Bhd (KDSB), R&R Gua Musang dan Felda Plantation Management Sdn. Bhd.
“Kita telah menganjurkan 3 siri Hari Kerjaya melibatkan pelbagai agensi yang telah diadakan pada 28 Disember 2021, 13 Januari 2022 dan 13 Februari 2022 sebagai platform untuk menyediakan hampir 595 peluang pekerjaan kepada mereka.
“KESEDAR berharap tidak timbul lagi sebarang salah faham dalam kalangan bekas peserta dan mengambil peluang yang diberikan kerana hasrat kita adalah untuk kepentingan semua bekas peserta,” ujarnya.
Hari Kerjaya tersebut katanya lagi, membuka peluang kepada mereka yang berusia 18 tahun sehingga 60 tahun untuk dipertimbangkan tawaran bekerja.
Terdapat juga sebahagian bekas peserta telah mula bekerja di sektor ladang dan lain-lain sektor di sekitar Gua Musang.
“Kita juga berharap tidak timbul lagi isu penolakan oleh bekas peserta terhadap projek tersebut kerana KESEDAR amat memahami kegelisahan bekas peserta yang tidak mahu menerima tawaran yang diberikan oleh KESEDAR,” katanya.
Menurut perjanjian KESEDAR-ECERDC dan KESEDAR-peserta, pemberian hak milik rumah akan diberikan kepada bekas peserta. Manakala jaminan pekerjaan di ladang sawit tidak dinyatakan dalam mana-mana perjanjian.